Saturday, May 23, 2009

.:Tugasan Ulasan Buku:.

Maklumat Buku

Tajuk buku : Doing Action Research : A Guide for School Support Staff

Pengarang : Claire Taylor, Min Wilkie dan Judith Baser

Tahun diterbitkan : 2006 (Cetakan Pertama)

Penerbit : Paul Chapman Publishing, City Road, London.

Bab 1 Pengenalan Kajian Tindakan

Dalam bab ini secara umunya membincangkan tentang pengenalan kajian tindakan kepada seseorang guru. Kajian tindakan penting dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di samping mengkaji beberapa isu atau fenomena yang berlaku dalam lingkungan sekolah seterusnya cuba mencari jalan penyelesaian ke atas isu-isu tersebut. Selain itu kajian tindakan juga secara langsung dapat menggalakkan penghasilan idea atau teori baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian tindakan juga secara tidak langsung dapat membina sikap yang lebih positif di kalangan pengkaji iaitu guru. Pendekatan kajian tindakan dapat dijalankan dengan beberapa pendekatan iaitu positivism, interpretivisme, kajian eksperimental, kajian kes dan dan etnografi. Kajian tindakan merupakan satu kaedah yang berkesan dalam mengubah atau mempertingkat sesuatu keadaan setempat. Kajian tindakan bersifat praktikal, mengikut kitaran yang teratur dan memfokuskan kepada usaha penyelesaian sesuatu masalah. Dengan kata lain, kajian tindakan merupakan agen perubahan dalam menambah baik sesuatu isu atau fenomena yang tidak diinginkan di sekolah. Kitaran kajian tindakan dapat dilihat melalui proses yang sistematik iaitu mengenalpasti sesuatu yang ingin dipantau dan memerlukan perubahan > melaksanakan perubahan-perubahan yang dirancang > melihat kesan perubahan yang telah dibuat > rancang semula atau melakukan penambahbaikan terhadap perubahan > ulang semula perubahan-perubahan yang telah diperbaiki > Lakukan usaha berterusan agar perubahan seiring dengan matlamat yang diharapkan. Proses kitaran kajian tindakan memerlukan langkah-langkah seperti perancangan (planning), senarai untuk membuat pilihan terhadap fokus sesuatu kajian tindakan di samping tindakan, pemerhatian dan refleksi.

Bab 2 Membuat penelitian maklumat dan kajian semula

Dalam melakukan sesuatu kajian tindakan, seseorang perlu juga merujuk kepada pengetahuan sedia ada yang terdapat dalam sumber-sumber bercetak atau elektronik seperti buku, suratkhabar, jurnal, internet dan sebagainya. Pencarian maklumat dalam matlamat membuat kajian tindakan ini dinamakan sebagai kajian perpustakaan. Perbincangan dengan individu pakar tentang sesuatu isu yang ingin dijalankan juga perlu dalam proses mencari idea terbaik dalam natijah kajian tindakan tersebut. Tidak dapat disangkal lagi, melalui pencarian kajian pustakaan dalam konteks pembacaan juga dapat menjadikan kita pembaca atau penerima maklumat yang kritikal. Dengan kata lain, perbezaan pendapat, percanggahan, ketidaktepatan, pembidasan, berat sebelah, kekaburan dan konflik yang wujud dalam aktiviti pembacaan yang kerap akan menjadikan kita seorang yang tidak hanya menerima bulat-bulat setiap input yang dibaca tetapi penilaian dan tapisan tentang kebenarannya dibuat terlebih dahulu sebelum maklumat tersebut diterima atau sebaliknya. Terdapat beberapa kemahiran membaca yang boleh digunakan oleh pengkaji untuk mencari maklumat iaitu membaca secara tepat untuk mendapat maklumat khusus dan bukan gambaran keseluruhan idea (scanning), membaca dengan pantas bertujuan memahami idea utama (skimming), membaca untuk mencari makna yang mana memerlukan kepada pemahaman yang jelas dan pembacaan yang teliti (reading for meaning) dan membaca secara laju dan berkesan (reading speed).


Bab 3 Pengumpulan Data

Teknik pengumpulan data perlu dalam mendapatkan maklumat berkaitan kajian yang hendak dilaksanakan. Dalam proses pengumpulan data beberapa perkara perlu diberi perhatian iaitu pemilihan teknik pengumpulan data yang relevan dengan kajian yang hendak dibuat, jangkamasa pengumpulan data yang mana masa yang lebih diperlukan dalam menghasilkan kajian yang mempunyai skop yang lebih luas dan juga kepelbagaian teknik pengumpulan data. Data yang telah diperolehi ini seterusnya akan disimpan dalam bentuk data kajian melalui catatan diari, buku log, jurnal, bahan dokumentasi dan sebagainya. Pemilihan instrumen kajian yang tepat perlu dalam mendapatkan data yang tepat terhadap sesuatu permasalahan kajian. Contoh-contoh instrumen kajian adalah seperti Pemerhatian, Soal selidik, Temu bual, Diari, Jurnal, Sumber dokumentasi dan
Alat pandang dengar (audio-visual). Instrumen-instrumen yang dinyatakan ini dapat dignakan secara fleksibel atau digabungkan mengikut kesesuaian dalam proses pengumpulan data yang lebih efisyen. Dalam proses pengumpulan data juga dua faktor perlu ditekankan iaitu kebolehpercayaan (reliability) dan kesahan (validity). Dalam kebolehpercayaan. nilai pengukuran yang dihasilkan tidak semestinya tepat dengan nilai sebenar. Sesuatu perkara itu dapat dipastikan kebolehpercayaannya apabila perbezaan di antara nilai pengukuran dan nilai sebenar kecil iaitu tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Dalam kesahan pula ia meupakan satu alat ukur yang tetap yang mana ia sukar disahkan apabila ia hanya berperanan mengukur variable (sesuatu yang berubah) tertentu sahaja.

Etika dalam Kajian Tindakan

a)Kebenaran daripada pihak yang terlibat

b)Perlindungan atau kerahsiaan responden yang terlibat

c)Tiada keraguan dan maklumat yang boleh dipercayai

Bab 4 Analisis Data

Dalam penganalisian data, apa yang perlu ialah bagaimana menggunakan data yang diperolehi melalui konsep-konsep tertentu. Analisa data lebih merujuk kepada pengorganisasian data. Data yang diperolehi daripada pelbagai sumber seperti komentar, gambar, dokumen, jurnal, artikel dan sebagainya perlu diatur, disusun dan dikategorikan dalam matlamat mencari tema atau hipotesis kajian yang dibuat. Proses penganalisian data memerlukan kepada perhatian yang konsisten dan pemikiran yang teliti dan kritikal.

Bab5 Menulis Laporan

Hasil dapatan yang diperolehi akhirnya perlulah ditulis dalam bentuk laporan formal mengikut standard atau piawaiannya yang tersendiri. Dalam penulisan laporan beberapa aspek perlu diambil kira iaitu a) Muka depan b) Penghargaan c) Senarai Kandungan d) Abstrak/Ringkasan/Sinopsis e) Pengenalan f) Kajian Kepustakaan g) Motodologi h) Hasil Dapatan i) Analisis/Penilaian/Perbincangan j) Kesimpulan k) Cadangan l) Bibliografi dan m) Appendix. Selain itu gaya penulisan yang standard, jelas dan tidak meleret, penulisan yang meyakinkan dan memberi kesan kepada pembaca di samping disertakan dengan sumber rujukan yang dipercayai merupakan di antara faktor yang menyumbang kepada penghasilan laporan dapatan kajian yang baik.

Bab 6 Faedah daripada Kajian Tindakan

Dalam kajian tindakan juga, perkongsian idea merupakan elemen penting dalam menilai sejauh mana keberkesanan, kekuatan, kelemahan dan penambahbaikan kajian yang dijalankan. Pembentangan kajian yang dibuat yang dikenali sebagai “viva” adalah salah satu cara iaitu pengkaji ditanya mengenai hasil kajiannya daripada pelbagai sudut dalam skop kajiannya.